Friday, September 30, 2011

Bahasa Jiwa Bangsa

TANPA bahasa, bangsa tidak mungkin dapat berkembang dan juga gagal menggambarkan identitinya secara keseluruhan dalam perhubungan dengan bangsa-bangsa lain.

Akibatnya, bangsa itu akhirnya akan lenyap ditelan masa. Oleh itu, bahasa menunjukkan identiti bangsa dan ia juga dapat menunjukkan tinggi rendahnya kebudayaan sesebuah bangsa. Bahasa turut menggambarkan jauh mana kemajuan yang telah dicapai sesuatu kelompok tersebut.

Sebagaimana dijelaskan oleh Ralp Fasold dalam bukunya, The Sociolinguistics of Society dan The Sociolinguistic of Language (1990), kelemahan bahasa juga akan melambangkan status sosial dan kekuatan identiti sesebuah bangsa.

Begitu juga Frederick J. Newmeyer melalui tulisannya Language: The Sociocultural Context menganggap sesebuah bangsa yang gagal memperkasakan bahasanya bakal terjerumus ke dalam krisis sosiobudaya yang serius.

Newmeyer juga berpendapat, kekuatan bahasa merupakan sisi lain kepada citra khusus keunggulan peradaban, pemikiran dan perilaku sesebuah bangsa.

Namun dalam konteks bahasa Malaysia, persoalan klise masih wujud - fungsinya dalam banyak aspek tidak dititikberatkan terutama dalam bidang komunikasi, pengiklanan, penerbitan dan sebagainya.
Secara formal, kini bahasa Malaysia mempunyai empat fungsi iaitu sebagai bahasa integrasi, bahasa kebangsaan, bahasa negara dan bahasa rasmi.

Dalam perkembangannya lebih lanjut, bahasa Malaysia diletakkan sebagai bahasa budaya dan bahasa ilmu. Keenam-enam kedudukan ini mempunyai fungsi yang berbeza, walaupun dalam amalannya dapat saja muncul secara bersama-sama.

Ironisnya hari ini, penggunaan bahasa Malaysia tidak banyak berubah. Masyarakat (tanpa mengira kaum) seolah-olah lebih senang berbahasa Inggeris selain bahasa ibunda. Malah, ada masyarakat Melayu yang berbahasa Inggeris.

Kesan daripada keadaan ini, masih banyak penggunaan bahasa Melayu yang tidak tepat, lemah dan bercampur-aduk dengan istilah-istilah bahasa asing serta gaya penuturan bahasa ibunda mengikut etnik.

No comments:

Post a Comment